Friday, June 11, 2010

Saya hendak belajar ilmu membersihkan hati...

"Saya hendak belajar ilmu membersihkan hati," kata seorang ulama besar kepada seorang ahli sufi.

"Tuan sudah banyak ilmu. Saya di sini hanya mengajar sekadarnya," ujar ahli sufi secara terus terang.

"Betul, saya ingin belajar di zawiyah tuan ini. Saya ingin menghilangkan perasaan takbur."

"Pengajaran saya tidak menggunakan kitab.." perlahan ahli sufi berkata.

"Mana boleh belajar tanpa kitab? Tuan tidak tahu tentang itu?" ujar ulama besar itu.

"Orang yang memang ilmunya tinggi semacam tuan, tidak perlu lagi belajar melalui kitab."

"Setahu saya, sesiapa sahaja belajar perlu berkitab," kata ulama besar itu. Serban besar dan jubah indahnya bergeser ditiup angin.

"Baiklah, apa itu takbur?" tanya ahli sufi seakan menguji.

"Apabila merasakan diri sendiri yang terbaik, memandang hina orang lain dan menolak kebenaran," jawab ulama besar itu dengan yakin. Ilmu-ilmu yang begitu seakan sudah berada di hujung jarinya.

"Tuan sudah mahir asas ilmu takbur."

"Tetapi saya ingin membuang rasa takbur..."

"Benarkah tuan ingin membuang takbur?"

"Itulah tujuan asal saya datang ke sini"

"Kalau begitu, buang serban dan jubah tuan dahulu. Dan ambil mangkuk kosong ini dan mengemislah di tempat tuan mengajar," kata ahli sufi.



"Apa? Mengemis? Mengemis itu bukankah kerja yang hina?"

"Tujuan mengemis ini bukan malas atau meminta belas ihsan manusia," kata ahli sufi itu hanya tersenyum.

Sambungnya, "Tuan perlu mengemis untuk menghilangkan ego. Supaya terasa hina di hadapan manusia setelah selama ini tuan dikenali sebagai ulama besar!"

"Oh, saya tak mampu. Saya datang ke sini untuk belajar ilmu yang tersirat. Saya ingin menelaah kitab-kitab yang hebat dan tinggi."

"Oh, saya tidak mengajar kitab-kitab seperti itu. Saya hanya belajar mengamalkan ilmu yang telah lama kita sama-sama ketahui."

"Jadi, tuan tidak sangguplah mengajar saya?"

"Tidak, tetapi tuanlah yang tidak sanggup belajar daripada saya!"

Pesanan Buat Mereka Yang Gemar Kepada Ilmu 

Telah berkata Imam al-Ghazali rahimahumullah di dalam kitabnya Bidayatul Hidayah;

....ketahuilah bahawasanya sebesar-besar sebab yang dapat mengukuhkan perangai yang jahat di dalam hati ialah menuntut ilmu dengan tujuan hendak menunjukkan kelebihan dan dengan tujuan supaya pandai bercakap  kerana orang awam (orang yang tidak berilmu) adalah agak lebih jauh daripada perangai-perangai yang jahat dan orang yang mencari ilmu adalah menjadi sasaran penyakit-penyakit hati yang dapat memebinasakan.

Maka lihatlah pada dirimu dan timbanglah baik-baik, yang mana lebih penting dan yang mana lebih baik. Apakah yang lebih baik itu belajar ilmu yang membawa engkau supaya berhati-hati daripada segala perkara yang membinasakan engkau lalu engkau sibuk dengan memperbaiki hatimu dan membangun akhiratmu ataukah yang lebih baik itu kau bergaul dengan orang yang bercakap kosong maka engkau mencari ilmu yang menjadikan engkau orang yang takbur, riak, hasad, ujub sehingga akhirnya engkau binasa. Dan ketahuilah olehmu bahawa tiga perkara ini (hasad, riak, ujub) ialah punca kepada segala penyakit hati dan baginya tempat tumbuh yang sama, iaitulah "hubbud dun-ya" oleh kerana itu Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

"Cinta dunia itu adalah punca segala kejahatan" 

Merendah Diri Itu Sifat Seorang Satria! 

Kata Imam Al-Qushairi;

"Futuwwah (kesatriaan) adalah perbuatan bijak yang kamu lakukan
tanpa melihat dirimu dalam perbuatan itu." 

"Futuwwah bererti seseorang
tidak menganggap dirinya lebih tinggi (yakni, lebih mulia) dari orang lain."

Namun awas! Satria apakah yang kita maksudkan?

"Barangsiapa yang yakin bahawa dirinya merasa tawadhuk, rendah diri, maka bererti  ia benar-benar orang yang takabbur." [al-Hikam, Ibnu Athoillah]


*rujukan: Solusi Isu No. 20, kitab Bidayatul Hidayah, blog Firus Fansuri, dan..Ketika Cinta Bertasbih?  ;)  

3 respons=):

hamba cinta said...[Reply]

nice~
baru nk tulis about diz..
syukran perkongsian...

Anonymous said...[Reply]

bagus..~
orang yang berlagak sombong dengan kelebihan diri yang Allah bagi x kan kekal lama.lebih2 lagi kalau suka merendahkan orang lain.
tunggulah jika 1 hari Allah tarik semua nikmat tu.baru taw langit tinggi rendah :) keep tawadu'.
Moga Allah pelihara dari fitnah.

SuTeRa MaYa said...[Reply]

kita doakan semua kita terpelihara dari sifat takabbur ini..