Sunday, October 17, 2010

Mengapa Dosa Dirasakan Halal?

Pernah tak apabila seseorang diberitahu tentang sesuatu dosanya, maka dia menjawab, “biasa lah…”

Aku teringatkan satu kisah seorang alim dengan anak muridnya.

Satu ketika alim tersebut mengajak anak muridnya berjalan-jalan di luar. Kemudian mereka melalui kawasan berumput. Kata alim tersebut, “cabut rumput di bawah”. Anak muridnya segera mencabut rumput itu menggunakan dua hujung jarinya dengan mudah sekali.

Mereka berjalan lagi, melalui kawasan berpokok bunga renek. Kata alim tersebut, “cabut pokok kecil tersebut”. Anak muridnya segera mencabut pokok tersebut dengan genggaman tangannya.

Mereka berjalan lagi, melalui kawasan berpokok sederhana besar. Sekali lagi alim tersebut menyuruh anak muridnya mencabut salah satu daripada pokok-pokok itu. Kali ini anak muridnya tidak dapat mencabut dengan sebelah tangan. Namun setelah mencuba dengan kedua belah tangannya, maka pokok itu pun tercabut.

Mereka berjalan lagi dan menemui pokok-pokok kayu besar. Alim menyuruh anak muridnya mencabut pokok tersebut. Dengan sifat taat, anak murid itu cuba mencabut dengan kedua belah tangannya. Beberapa kali dicuba namun gagal. Lalu dia memeluk pokok itu dan cuba mencabutnya dengan sedaya upayanya. Malangnya dia tetap gagal mencabut pokok tersebut.

Lalu dia menantikan kata-kata gurunya tersebut. Kata alim tersebut, “demikianlah perbuatan dosa, awal-awal mudah untuk berhenti, namun jika dibiarkan lama-kelamaan menjadi susah untuk berhenti dan bertaubat.”

Semua orang melakukan salah silap dan dosa. Itu tidak dinafikan. Namun salah satu sifat orang beriman ialah dia akan merasa sesal dan gundah apabila melakukan apa-apa dosa dan kemaksiatan kepada Allah. Namun demikian apabila dosa tersebut diulang kali kedua, ketiga dan seterusnya, perasaan tersebut lama kelamaan akan menjadi hanya lintasan hati yang berlalu begitu sahaja. Akhirnya selepas melakukan dosa tersebut, hati tidak akan merasa kesal lagi.

Ditambah pula dengan tiadanya apa-apa masalah atau musibah yang menimpa diri, maka dia merasakan bahawa dosa tersebut perkara biasa. Seolah-olah hati menjadi lega walaupun setelah melakukan dosa, kerana tiada apa-apa hukuman yang dikenakan kepadanya secara tunai.

Walaupun umum mengetahui adanya hukuman di akhirat dan akan hilangnya berkat hidup di dunia, namun oleh kerana tidak ada apa-apa yang berlaku, semua itu tidak mahu difikirkannya. Berlainan dengan melanggar undang-undang jalanraya misalnya, dia akan dikenakan saman dan sebagainya. Maka sukarlah perkara melanggar undang-undang jalanraya itu menjadi kebiasaan manusia, kerana dia tahu dia akan dikenakan hukuman selepas itu.

Maka dosa tersebut akan dilakukan lagi dan lagi sehingga satu tahap, selepas melakukan dosa hati akan menjadi suka atau bangga. Pada peringkat ini dosa tersebut dilakukan kerana suka. Bila terasa suka untuk berbuat dosa, dia melakukannya. Bila tak suka, dia tak melakukannya.

Apabila keadaan ini berterusan, hati berubah daripada suka menjadi mahu dan perlu. Seolah-olah dosa yang dilakukan itu kerana dia mahu atau perlu melakukannya. Dan sekali lagi, oleh kerana tiada apa-apa yang berlaku kepada dirinya, maka dia merasakan melakukan dosa itu biasa, boleh dan halal.

Inilah dia peringkat-peringkat mengapa perbuatan dosa dirasakan halal oleh umat Islam. Mengapa perkara ini terjadi? Senang sahaja jawapannya. Semuanya berkaitan dengan iman, dan hanya iman. Apabila seseorang beriman melakukan dosa, iman menjadi luntur. Apabila dia berterusan melakukan dosa, iman tercabut. Dengan iman yang lemah, akan merubah hati menjadi suka melakukan dosa. Apabila iman terlalu lemah atau iman rosak, maka hati telah pun keras dan gelap dan sukar untuk menerima kebenaran.

Lantaran perbezaan iman inilah maka kita akan menerima beberapa jawapan apabila seseorang itu diberitahu tentang perbuatan dosanya. Contohnya,

Ya, Allah, nasib baik kau bagitau aku. Aku tak tau sebenarnya.
Eh, betul ke tak boleh buat.
Takkan tak boleh buat kot?
Ye ke…
Biasa lah tu…
Alah, itu pun nak bising.
So, apa yang akan berlaku kepada orang-orang macam ni? Bagi orang dalam peringkat awal, sebarang peringatan tentang dosa tersebut akan segera diubah. Dalam keadaan ini, dia tidak lagi melakukan dosa tersebut.

Bagi orang yang sering mengulang-ulangkan perkara dosa kerana tidak tahu atau tidak diberitahu, selepas diberitahu dia akan berhenti. Namun ada kemungkinan dia akan mengulanginya melainkan peringatan itu diulang lagi dan lagi.

Bagi orang yang melakukan dosa kerana suka, jika ada orang memberi teguran tentang dosa itu, hati menjadi berat untuk menerima perkara yang disukai namun perasaan suka itu masih lagi ada harapan bertukar menjadi tidak suka membuat dosa. Maka kadangkala dosa itu tidak dibuat bukan kerana ianya dosa, tetapi kerana dia tidak suka. Orang begini boleh berubah jika dia bertegas dengan perasaan tidak suka membuat dosa itu dan melazimkan dirinya membuat amalan agama yang lain.

Bagi orang yang merasakan mahu dan perlu membuat dosa pula, jika ada orang memberitahu bahawa itu satu dosa yang perlu ditinggalkan, maka hati menjadi susah untuk menerima bahkan lebih teruk lagi, hati menolak kebenaran tersebut. Maka usaha yang lebih kuat diperlukan supaya orang seperti ini berubah.

Kesimpulannya, jangan mulakan apa-apa sahaja bentuk dosa. Sama ada tinggal sembahyang, lambatkan sembahyang, tak keluar nisab bulanan atau tahunan dan sebagainya. Memang jelas betapa pentingnya usaha ingat mengingati dan ajak-mengajak kepada kebaikan dijalankan oleh semua orang Islam. Ia penting kepada diri sendiri dan orang lain juga.

copy dan paste dari sini

---

mari sentiasa bermuhasabah dan bertaubat.

1 respons=):

Anonymous said...[Reply]

baguss..ku suka.