Assalamu'alaikum w.b.t
"Bulan Ramadhan, awalnya rahmat,
pertengahannya keampunan,
dan akhirnya dipenuhi dengan pahala yang menjadi penebus dari neraka." [Al-Hadis]
Ana yakin dan pasti,sahabat dan sahabiah sekalian sudah agak sinonim mendengar tajuk ini. Saban tahun kita diperingatkan tentangnya. Sedar atau pun tidak kita hampir memasuki apa yang dikatakan sebagai 'ausatuhu maghfirah' dalam bulan Ramadhan. Bagaimana dengan iman kita sepanjang 1/3 bulan Ramadhan yang telah kita tempuhi? Yaziid aw yanqus??Apa khabar amalan kita??Rasa-rasanya sudah cukupkah ia?? Sama2 la kita mengkoreksi diri kita semula. Semoga kita tidak terlepas untuk memperoleh rahmatnya. Baiklah. 'Separuh masa kedua' ini biasanya adalah pusingan penentu. Jika kita menganalogikan Ramadhan ini seperti perlawanan bola sepak, separuh masa kedua bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, berkhayal mencari strategi dalam bayangan atau sekadar berlari turun naik padang tanpa arah tujuan. Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertindak dan menyerang.
Apakah jaringan kita setakat separuh masa kedua ini?
Andai masih 0-0, perlu dikaji apa yang tidak kena. Maksiat kita tinggalkan, tapi kebaikan tidak kita lakukan. Tambah-tambah lagi jika maksiat ditinggalkan hanya semata-mata “rakan syaitan jin dan manusia” tertambat dan bukannya kerana dorongan mahu mendampingi Tuhan. Jangan lupa, buat sesuatu kerana selain Allah itu riya’, meninggalkan sesuatu kerana selain Allah juga adalah riya’.
Andaikata kita sudah mendahului dengan jaringan 1-0, syukurlah kepada Allah. Namun kita belum selamat. Pasukan 'Nafsu' masih terlalu hampir untuk membuat jaringan persamaan, mereka tidak henti-henti menyerang sedangkan pertahanan kita semakin keletihan. Tambahkanlah bilangan bola yang berjaya dibawa melepasi pertahanan Pasukan Nafsu yang degil itu. Biar jarak kemenangan kita itu berada di zon selamat, bukan sentiasa di atas urat.
Tambahan lagi apabila dekat nak Raya, penyokong pasukan nafsu semakin bersesak-sesak masuk ke gelanggang. Pekiknya makin menggerunkan. Jangan pula kita lemah semangat kerananya. Kita pasukan Tuan rumah, harus menang sekurang-kurangnya di gelanggang sendiri.
Namun, kalau sudah masuk pusingan kedua, masih lemah ditinggalkan masa, pastinya… kita di ambang kekalahan! 'Piala Taqwa' yang kita rebut-rebutkan itu bakal jatuh ke tangan orang lain, iaitu ke tangan Pasukan Nafsu yang memang diketahui tidak kenal dan kenang nilai Piala Taqwa. Ia hanya mahu mengalahkan pasukan kita, ia hanya mahu melihat Piala Taqwa itu tidak berada di tangan kita.
Apakah musim depan kita masih berpeluang untuk masuk gelanggang? Tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan, bahkan jurulatih terhandal pun tahu masa yang ada di tangan kita hanyalah sekarang. Masa lalu telah berlalu, masa hadapan tak pasti kesampaian. Dan masa sekarang yang ada di tangan kita, hanya tinggal separuh masa kedua… apakah masih ada ruang untuk berlengah?
“Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin! ” (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)
Marilah kita berlumba-lumba meraih keberkatan Ramadhan.. Semoga Ramadhan kali ini menjadi penawar pada dosa-dosa yang menghitami hati kita..sama-samalah kita manfaatkan ia sepenuhnya kerana mungkin kali ini adalah Ramadhan yang terakhir buat kita...
Bak kata pujangga.. Ramadhan itu senantiasa diharap kehadirannya seperti menanti kunjungan kekasih yang dirindui dan dicintai sepenuh hati..Tatkala bersua, rasa tidak mau berpisah walau sedetik..
Kata pujangga yang lain..
Jika HARTA ibarat RACUN, maka ZAKATlah PENAWARnya, jika UMUR membuahkan DOSA , maka TAQWA dan TAUBATlah UBATnya, jika seluruh bulan itu penuh dengan NODA, maka RAMADHANlah PEMUTIHnya..
Pendek kata, memang sangat merugikan kiranya kita membiarkan Ramadhan berlalu begitu sahaja. Gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya untuk memperbaiki amalan-amalan kita. Semoga ruh Ramadhan ini akan meresap dalam diri kita baik di bulan ini mahu pun pada bulan-bulan yang lain. Insya Allah.. Selamat menjalani ibadah puasa, moga diampunkan segala dosa, dilipatgandakan ganjaran pahala di sisi Allah.